Pakar penerbangan sebut enam sebab kehilangan misteri MH370

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak Sabtu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan serata dunia.

Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu.

Sebab-sebab itu merupakan gabungan kesilapan teknikal dan juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur, faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat.

Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan juruterbang.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan.

"Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," jelas beliau.

Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan struktur pesawat boleh menyebabkan pilot hilang kawalan.

"Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan 611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747 (Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan.

Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau pilot hingga menyebabkan pesawat terhempas telah ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11.

Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji, kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan mengakibatkan pesawat terhempas. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts