Pembangkang tidak membuat permintaan untuk taklimat penerbangan MH370

Pembangkang tidak membuat permintaan untuk taklimat penerbangan MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas selesai bertemu Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Hishammuddin berkata kerajaan bersedia memberikan taklimat kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) jika mereka membuat permintaan.

"Kalau pembangkang mahukan taklimat sama, mereka juga patut minta perkara sama," kata Hishammuddin semasa ditanya mengapa tiada ahli Parlimen PR yang dijemput dalam taklimat malam tadi.

Hishammuddin berkata taklimat tersebut diberikan atas permintaan oleh Kelab Penyokong BN (BNBBC) yang mahu mengetahui perkembangan MH370 yang masih tidak ditemui sehingga hari ini.

"Kita membuat taklimat kepada BNBBC kerana mereka memintanya.

"Ini hanya memenuhi apa yang mereka (BNBBC) minta," kata beliau, yang juga menteri pertahanan.

Hishammuddin menafikan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik krisis kehilangan MH370 yang dihadapi Malaysia ketika ini.

"Kita telus kepada dunia, kenapa tidak kepada Parlimen Malaysia," kata Hishammuddin lagi.

Pertikaian tercetus selepas media mendedahkan surat jemputan rasmi Kementerian Pengangkutan dihantar sendiri dan melalui fax berhubung dalam perbincangan tertutup yang akan diadakan dengan ahli Parlimen BN di Hotel Aloft, Kuala Lumpur.

Susulan pendedahan tersebut, pemimpin PR membidas kerajaan Malaysia kerana enggan berkongsi maklumat mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh daripada PKR kesal dengan tindakan tersebut dan mengganggapnya seolah-olah cuba merendahkan anggota Dewan Rakyat lain. "Saya merasa kesal kenapa wujud perkara begini, seolah-olah merendahkan anggota Dewan Rakyat lain.

"Tidak kiralah kami pembangkang atau BN, kami tetap ahli Parlimen yang diberi mandat kepada rakyat yang mempunyai hak mengetahui apa berlaku di negara ini," kata Fuziah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan perkara tersebut sebagai tindakan yang buruk dan memecahbelahkan rakyat ketika negara berdepan dengan krisis paling genting ketika ini.

MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dalam perjalanan ke Beijing.

Usaha mencari MH370 kini tertumpu di koridor utara dan selatan selepas pencarian di Laut Cina Selatan menemui kegagalan.

Koridor selatan berada di perairan Indonesia dan selatan Lautan Hindi, manakala koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand. – 19 Mac, 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts