PM - Protokol disemak, keselamatan KLIA ditingkat

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menyemak semula semua protokol yang terlibat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan bersedia meningkatkan lagi protokol dan keselamatannya jika ada keperluan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas tentang kemungkinan ada unsur ancaman pengganas terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Najib berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang kesimpulan tanpa bukti kukuh.

"Sekarang tak ada bukti kukuh, macam-macam teori melayang. Kita terpaksa mencari semua kemungkinan petunjuk dan kena siasat sebelum membuat kesimpulan kukuh," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014 di sini, hari ini.

Insiden pesawat penumpang MH370 yang hilang sejak awal pagi Sabtu lepas itu menjadi lebih menarik apabila Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azaharuddin Abdul Rahman mengesahkan dua penumpang pesawat itu menggunakan pasport palsu sewaktu menaiki pesawat.

Susulan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia telah memaklumkan kepada agensi-agensi anti-pengganas di beberapa negara mengenai dua penumpang terbabit.

Sehingga kini tidak diketahui nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts