Remaja Myanmar kantoi korek tabung masjid

OLEH: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

SENAWANG - Seorang remaja warga Myanmar ditangkap ketika cuba mencuri duit tabung Masjid Taman Rasa Sayang (TRS), di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi apabila ahli kariah masjid terbabit sedang mengadakan program jualan amal di pekarangan masjid berkenaan.

Remaja berusia 13 tahun yang berdaftar dan mendapat perlindungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditangkap beberapa ahli kariah masjid berkenaan ketika sedang leka mengorek salah satu tabung.

Nazir Masjid TRS, Zulkifli Muhamed, 46, berkata, kejadian disedari dua kariah yang kebetulan menuju kenderaan masing-masing untuk menyimpan barangan dibeli menerusi program jualan amal itu.

“Tiba-tiba, mereka ternampak kelibat seorang remaja lelaki terbongkok-bongkok kerana cuba mengorek dan mengeluarkan duit dari salah satu peti tabung masjid menggunakan dawai besi.

“Bagaimanapun, kedua-duanya bertindak pantas dengan mendekati remaja itu secara perlahan-lahan sebelum menyergahnya. Remaja terbabit yang tidak sempat melarikan diri akibat terkejut, kemudiannya dibawa berjumpa saya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap remaja terbabit menemui beberapa barang seperti segumpal kabel hijau, sekotak rokok, pemetik api dan kad sim yang tidak diketahui pemiliknya.

“Remaja itu memberitahu, dia menetap di Taman Jujur, Sikamat, sementara ibunya sudah lama meninggal dunia, manakala bapanya pula tidak bekerja.

“Walaupun didesak berkali-kali, dia masih enggan mengaku perbuatannya, malah enggan mendedahkan dalang menyuruhnya melakukan perbuatan itu," katanya.

Menurut Zulkifli, dia terpaksa menyerahkan remaja tersebut kepada polis memandangkan keengganannya untuk bekerjasama, selain menjadi pengajaran.

“Dia turut mengaku bawah dia pernah ditangkap polis atas kesalahan sama,” katanya yang turut mengesyaki remaja itu terlibat dalam beberapa kejadian curi melibatkan masjid TRS, sebelum ini.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Biro Anak Yatim Kariah Masjid TRS, Jamalludin Ahmad, 46, berkata, remaja tersebut dilihat sering berlegar-legar di sekitar Pasar Tani Ampangan, dekat sini pada setiap Selasa.

“Malah, dia pernah menumpang teksi saya dari sebuah stesen minyak di Taman Matahari untuk ke Sikamat. Bila saya tanya apa yang dilakukan di situ, dia kata pergi mengutip derma.

“Dia dan adik beradiknya yang lain juga pernah datang ke Taman Sri Mawar 2 untuk memungut derma. Tetapi, mereka melarikan diri apabila disoal mengenai surat kebenaran dimiliki yang bukan dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains),” katanya yang merupakan pengerusi taman berkenaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts