Saman RM300 ubah suai kenderaan dipasang ‘tayar kangkang’.

Sebuah kereta yang telah diubah suai dengan dipasang ‘tayar kangkang’. 
- UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

KOTA KINABALU 11 Mac - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memberi amaran keras kepada pemilik kenderaan ‘kreatif’ yang mengubah struktur kenderaan masing-masing termasuk memasang ‘tayar kangkang’.

Pengarahnya, Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan termasuk motosikal yang membuat pengubahsuaian iaitu selaras dengan Notis PG1, notis yang melarang kenderaan tersebut berada di atas jalan raya.

Katanya, saman tidak melebihi RM300 dan Notis PG1 akan dikeluarkan serta merta kepada pemilik kenderaan ‘tayar kangkang’ yang dilihat mula menular di negeri ini.

"Meskipun trend ‘tayar kangkang’ atau terkeluar masih tidak serius di negeri ini, namun saya ingin mengingatkan pengguna jalan raya bahawa tindakan ini adalah salah di segi undang-undang dan berharap orang ramai tidak terkeliru dengan kesalahan seumpama ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah yang juga Ketua Penguat Kuasa JPJ negeri, Abdul Rahman Mohd. Zakaria.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaili berkata, JPJ negeri juga akan memberi tumpuan utama kepada kesalahan cermin gelap yang semakin berleluasa di negeri ini apabila tidak mengikut garis panduan ketelusan cahaya ditetapkan kepada kenderaan.

Selain itu katanya, beberapa kesalahan lain seperti pemasangan lampu sorot atau ‘spotlight’ di kenderaan kecuali kenderaan pacuan empat roda, pemasangan aksesori lampu High Intensity Discharged (HID), penggunaan plat kenderaan yang tidak diluluskan dan pemasangan laci (drawer) di bahagian belakang lori pengangkutan.

Jelasnya, pemasangan laci di lori pengangkutan yang sebelum ini dibenarkan oleh JPJ telah diubah apabila perbincangan jabatan itu dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diadakan pada Julai tahun lalu kerana mendapati kemudahan itu telah disalah guna serta strukturnya yang tidak kukuh.

Walau bagaimanapun katanya, pelaksanaan undang-undang bagi kesalahan laci pada bahagian lori tersebut ditangguhkan sehingga Jun ini bagi memberi peluang kepada pemilik melakukan perubahan terhadap kenderaan masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20140312/wb_05/Saman-RM300-ubah-kenderaan#ixzz2vuVUtGFk
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts