Terima kasih Tuhan...

OLEH: ADILA SHARINNI WAHID

"KALAU sayang mati, abang tanamlah sayang bersebelahan dengan kubur abang." Masih terngiang-ngiang wasiat yang kutitip buat sang suami tatkala berdepan tanda-tanda menghidap kanser payudara, setahun lalu.

Menyedari kehadiran benjol sebesar tiga sentimeter pada puting payudara kanan cukup-cukup membuat hidupku tidak keruan hingga berat badan mulai susut sedikit demi sedikit.

Hari pertama aku ke hospital untuk mendapatkan kepastian, doktor ambil sampel sel untuk dibuat kajian dan dalam tempoh dua bulan, aku perlu menunggu keputusannya.

Tempoh 40 hari yang begitu menyeksa batinku. Setiap malam aku menangisi diri. Terkenang nasib menghidap penyakit yang bakal menyentap nyawaku, sekali gus meninggalkan segala-galanya yang aku sayangi di dunia ini.

Beribu persoalan menerjah fikiran seolah-olah takut untuk berdepan takdir Tuhan. Setiap hari aku tertanya-tanya siapa yang akan menjaga putera dan puteriku andai aku pergi kelak.

Bagaimana pula dengan makan minum mereka, siapa akan menguruskan mereka jika ajal menjemputku pada usia 35 tahun ini.

Si abang yang mencecah usia 11 tahun menunjukkan keprihatinannya, namun si adik yang baharu berusia sembilan tahun berkata "tidak mengapa andai mama mati, adik boleh tinggal dengan Pak Ucu," membuktikan anak kecil itu masih belum mengerti dugaan ini.

Habiskan masa menyendiri

Semakin difikirkan masa depan anak-anak, semakin aku dirundung pilu. Banyak masa aku habiskan dengan menyendiri, pekerjaan yang selama ini menjadi punca pendapatanku untuk membantu keluarga semakin aku tinggalkan.

Tanggungjawabku mula terabai. Tidurku terganggu, sekejap aku lena, sekejap lagi aku terjaga hingga berat badan 60 kilogram mula menyusut kepada 45 kilogram.

Kesetiaan suami yang tidak henti memberi dorongan dan sokongan, aku pandang kosong. Kata-kata suami, ramai lagi yang lebih malang seperti mangsa kemalangan yang kudung kaki, cacat pendengaran dan sebagai, umpama mencurah air ke daun keladi.

Suami dan anak-anak mula menyedari perubahanku. Mereka berasa tersisih, saudara mara juga apatah lagi. Aku lebih banyak mendiamkan diri, enggan bercakap atau berbual dengan mereka seperti waktu dulu, apatah lagi perihal penyakit ini.

Masa yang ditunggu berkunjung tiba. Ibarat penentuan hidup mati, aku gemuruh, takut dan gementar hingga hampir 10 kali aku berulang alik membuang air besar sebelum mampu bersua muka dengan doktor. Alhamdulillah! Syukur ke hadrat Ilahi. Ajalku bukan di ‘tangan’ kanser. ALLAH SWT masih memberi peluang dan ruang untuk aku menikmati keindahan dunia ini.

Oksigen yang tersekat di kerongkong sedikit masa dulu, mula dirasakan mengalir laju. Aku bernafas lebih lega, namun tidaklah sepenuhnya kerana rupa-rupanya benjolan itu adalah ketumbuhan jenis fibroadenoma tetapi boleh dirawat.

Disahkan bebas kanser

Selepas menjalani pembedahan, aku disahkan sihat sepenuhnya. Pengalaman melalui detik-detik menghampiri maut tidak dapat dipadamkan daripada kotak fikiran. Paling penting, semangat yang pudar mula pulih 100 peratus.

Jika dahulu pernah tercalit rasa ego di hati terhadap suami, kini tiada lagi. Dulu sering juga bergaduh, kini tidak langsung. Hubungan semakin baik dan aku rasakan diri ini lebih menghargai insan yang ada di sekeliling terutamanya si dia yang senantiasa ada di sisiku. Susah atau senang, gembira bahkan hiba. Semakin hari semakin sayang.

Aku belajar menghargai setiap saat hembusan nafas yang diberikan kepadaku. Anak-anak mendapat layanan baik. Rohaniku lebih terdidik, aku lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta. Masaku terurus dengan teratur.

Kerjayaku sebagai tukang masak semakin berkembang. Masakanku dari hari ke hari bertambah hebat dan aku bercita-cita untuk menyertai pertandingan masakan bertaraf antarabangsa sedikit masa lagi. Terima kasih Tuhan, terima kasih abang, terima kasih anak-anakku dan kawan rapat yang tidak putus memberi harapan. Terima kasih.

Nora, Kelantan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts