Untung sebelum cukai Petronas naik 7%

Keuntungan sebelum cukai Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2013, meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM94.26 bilion berbanding RM89.74 bilion pada 2012.

Hasil naik sembilan peratus kepada RM317.31 bilion berbanding RM291.23 bilion pada tahun sebelumnya, kata Naib Presiden Eksekutif (Kewangan) kumpulan Datuk George Ratilal pada taklimat media di sini hari ini.

"Jumlah aset meningkat kepada RM528.7 bilion pada 2013 berbanding RM489.2 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dijana bagi tahun berkenaan," kata beliau.

Peningkatan ekuiti pemegang saham sebanyak RM28.8 bilion kepada RM335.8 bilion sehingga 31 Dis, 2013 adalah disebabkan oleh impak bersih keuntungan yang boleh diagih kepada pemegang saham syarikat, dividen akhir yang diluluskan pada tahun kewangan 2012 dan dividen interim yang diisytiharkan pada 2013, jelas beliau.

Beliau berkata ekuiti pemegang saham yang lebih tinggi menyebabkan penurunan dalam nisbah hutang kepada 11 peratus sehingga 31 Dis, 2013 berbanding 11.7 peratus pada 2012 meskipun kenaikan kecil dalam paras hutang.

-Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts