Zikir untuk kekuatan umat

IBRAHIM ABDULLAH


PADA 21 Mac lepas di Dataran Masjid Putrajaya diadakan majlis Selawat Perdana Malam Cinta ALLAH dan Rasul yang merupakan perhimpunan agung selawat terbesar pernah dianjurkan di pusat pentadbiran negara.

Majlis bertemakan "Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan" itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan menteri-menteri Kabinet serta rakyat berbagai golongan.

Alunan qasidah dan selawat yang memuji Rasulullah SAW itu dipimpin tokoh agama Nusantara, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid.

Program hampir empat jam itu, para hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain disajikan dengan zikir terapi dan bacaan al-Quran berduet oleh peserta Imam Muda Amiril Md Banin serta Pencetus Ummah (PU).

Selepas solat Isyak, kesemua menyertai solat hajat serta bacaan doa bagi memohon agar operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac dipermudahkan.

Selang beberapa hari, dengan izin ALLAH, iaitu pada 24 Mac, jam 10 malam, Perdana Menteri mengumumkan melalui siaran televisyen berdasarkan maklumat dan kajian oleh pakar, bahawa serpihan MH370 ditemui dan berakhir di selatan Lautan Hindi di Barat Daya Perth, Australia.

Hal ini menunjukkan berkat dan hidayah ALLAH SWT dengan zikrullah tersebut ALLAH Taala menolong dan memberi petunjuk kepada hamba-Nya, kerana zikrullah (mengingati) ALLAH adalah suatu pekerjaan yang besar dan penting dalam kehidupan umat manusia dan kekuatan suatu bangsa.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Insaan : 25).

Firman ALLAH Taala lagi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati ALLAH (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiquun : 9).

Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.

Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d : 28).

Dalam hadis disebutkan yang bermaksud: “Perbandingan di antara orang yang mengingati Tuhannya samalah dengan perbandingan di antara seorang yang hidup dengan seorang yang mati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Zikrullah atau mengucapkan kata-kata pujian yang mengingati kebesaran ALLAH SWT, adalah amalan istimewa Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya, zikrullah merupakan media yang membuat kehidupan Nabi dan para sahabat benar-benar hidup.

Ibnu Qayyim Rahimahullah menegaskan bahawa zikrullah memiliki 73 manfaat yang antaranya ialah:
1. Mengusir syaitan dan menjadikannya kecewa
2. Membuat ALLAH reda
3. Menghilangkan rasa sedih dan gelisah dari hati manusia
4. Membahagiakan dan melapangkan hati
5. Mengangkat manusia ke maqam ihsan
6. Mendapatkan berkat ALLAH di mana sahaja
7 Berada di bawah naungan ALLAH di hari kiamat
8. Menjadikan hati selalu terjaga
9. Mendatangkan nikmat dan menolak bala
10. Memalingkan seseorang dari membincangkan kebatilan
11. Zikrullah merupakan penyatu hati orang beriman dan pemecah hati musuh ALLAH
12. Mendekatkan kepada akhirat dan menjauhkan dari dunia
13. Menjadikan hati selalu terjaga
14. Zikrullah adalah pohon makrifat dan pola hidup orang soleh
15. Pahala zikrullah sama dengan berinfak dan berjihad di jalan ALLAH
16. Zikrullah adalah pangkal kesyukuran
17 Mendekatkan jiwa seorang hamba kepada ALLAH
18 Melembutkan hati

Sungguh luar biasa manfaatnya. Tetapi orang tidak akan yakin dengan manfaat-manfaat di atas kecuali yang telah berasakan dan menikmatinya. Marilah kita cuba memulainya dan meneruskan majlis zikrullah ini sepanjang zaman sebagai kekuatan bangsa dan umat. Insya-Allah. Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts